Insiden serangan di Pulau Mabul, Semporna, Sabah, kelmarin yang mengorbankan seorang anggota polis marin manakala seorang lagi diculik didakwa ada kaitan dengan kumpulan yang setia dengan pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata, mereka mengambil tindakan itu kerana tidak berpuas hati apabila dipinggirkan daripada proses rundingan damai dengan kerajaan Filipina sehingga membawa kepada pembentukan wilayah autonomi Bangsamoro.
Menurut beliau, kumpulan terbabit juga kecewa kerana kerajaan Malaysia tidak lagi memberi sokongan kepada mereka malah sebaliknya mengambil pendirian menyebelahi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
"Kumpulan Nur Misuari ini tidak sehaluan dan cemburu dengan pemimpin yang terlibat dalam wilayah autonomi Bangsamoro. Mereka juga berlumba-lumba untuk mendapatkan pengaruh.
"Sebagai tindakan balas, mereka sentiasa berusaha menggugat keamanan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) bagi menunjukkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan Malaysia yang menjadi fasilitator dalam proses rundingan damai antara MNLF dan Presiden Filipina, Benigno Aquino III," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Rahim mengulas serangan yang mengakibatkan Koperal Ab. Rajah Jamuan, 32, terbunuh manakala Konstabel Zakiah Alep, 26, masih hilang.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyarankan pegawai kanan Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Sabah dilibatkan secara langsung dalam struktur organisasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
Beliau memberitahu, langkah itu perlu memandangkan kawalan keselamatan di Esscom masih berteraskan kepada kepolisan dalam keadaan aman dan bukannya kawasan darurat.
"Pada pandangan saya, kaedah terbaik bagi melaksanakan langkah ini adalah dengan melantik Komander Esscom, Datuk Abd. Rashid Harun sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah yang kedua," ujarnya.
Abdul Rahim menambah, pada masa ini, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman tidak dilibatkan secara langsung di dalam struktur Esscom dan keadaan itu dikhuatiri akan mewujudkan senario `satu kapal dua nakhoda' di negeri tersebut.
"Bagi saya, perkara ini tidak produktif dan tidak munasabah. Akibatnya, anggota polis yang bertugas di Sabah khususnya di Esszone akan keliru sama ada mereka perlu memberi keutamaan kepada arahan Esscom atau IPK Sabah," katanya.