Isnin, 4 Disember 2017

SEJARAH INDUSTRI MINYAK SARAWAK : BUAT BACAAN & TATAPAN PANDIKAR AMIN MULIA


ADA yang masih lagi teraba-raba di dalam terang apabila berbicara sumber bumi utama yang penghasilannya menjadi pemangkin utama ekonomi Gagasan Malaysia. Dan untuk segala hasil minyak dan gas yang ada di Sarawak adalah perolehan terbesar secara totalnya dari segi penyumbang pendapatan Negara Malaysia. 

Di dalam pada itu, generasi muda pula jangan pula lupa bahawa jauh sebelum kewujudan satu syarikat yang bernama PETRONAS, Sarawak terlebih dahulu membuat eksplorasinya secara bersendirian. Jadi sejarah eksplorasinya harus difahami sebaik mungkin dan bukannya hanya berasaskan kepada Sarawak, Malaysia. 

Mengimbau sejarahnya eksplorasi minyak ini telah melalui beberapa era sejajar dengan pembentukan sejarah Sarawak itu sendiri dari Sarawak moden di bawah pemerintahan Brooke sehinggalah Sarawak sebagai jajahan koloni British. 

Era Pemerintahan Brooke di Sarawak Kingdom (1840an-1941)

Sejak diawal lagi pemerintah Sarawak Kingdom yang pertama iaitu Rajah James Brooke telah menitikberatkan pentingnya “emas hitam” ini untuk dieksplorasi. Rajah James Brooke sendiri telah mengarahkan seorang rakannya iaitu ahli geologi bernama Hiram Williams untuk membuat kajian pertama mengenai kewujudan minyak di Sarawak.

Pada masa yang sama juga, Rajah Brooke melalui rakan baiknya iaitu seorang pengembara botani terkenal yang telah menjelajah Sarawak sekitar tahun 1854 sehingga 1862 juga turut memberi sokongan kepada James Brooke untuk terus membuat kajian mengenai minyak di Sarawak. 

Melalui bukunya The Malay Archipelago (1869). Wallace mengatakan:

“… to coal mines in Sarawak: These coal mines puzzle the natives exceedingly, as they cannot understand the extensive and costly preparations for working coal, and cannot believe it is to be used only as fuel when wood is so abundant and so easily obtained.”- Wallace, 1869-

Melihat kepada pelbagai sokongan dan reaksi daripada rakan-rakannya maka James Brooke telah berusaha sebaik mungkin untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat di Scotland mahupun di Singapura yang mampu menguruskan pencarian minyak di Sarawak dengan lebih berkesan. Dan oleh kerana itulah, Brooke telah menubuhkan Borneo Company Limited sekitar tahun 1856 di London. Ini semua dilakukan untuk menguruskan sumber perdagangan bagi Sarawak ketika itu berjalan lancar dan berkesan.

Selesai sahaja penubuhannya maka Borneo Company Limited telah berusaha sebaik mungkin untuk menguruskan sumber galian Sarawak Kingdom seperti perlombongan emas dan antimony serta juga minyak di Sarawak. Segala bentuk kerja-kerja pemetaan dan pengukuran tanah secara geologi terus dipertingkatkan dengan membawa masuk seberapa ramai pakar-pakar geologi minyak dari British ke Sarawak pada masa itu.

Apabila Sarawak Kingdom diwariskan kepada rajah kedua iaitu Rajah Charles Brooke, eksplorasi minyak di bumi Sarawak semakin diperhebatkan. Sewaktu pemerintahan Rajah Charles Brooke ini seorang pakar geologi minyak iaitu Dr. T. Posewitz telah mula menjalankan pengkajian dan akhirnya mula meneroka telaga-telaga minyak di Bandar Miri sekitar tahun 1892. 

Sebenarnya jauh sebelum itu, rakyat Miri sebenarnya telahpun mula menjalankan kerja-kerja penggalian secara konvensional lebih dahulu sebelum Brooke membawa masuk segala jentera berat. 

Ini dapat dijelaskan oleh seorang penjawat awam kerajaan Sarawak Kingdom yang bernama Claude Champion Crespigni iaitu Residen pertama Marudi melalui laporannya yang ditulis sekitar 1882 menyatakan bahawa terdapat 18 buah telaga minyak yang digali secara manual oleh penduduk tempatan yang harus dipertimbangkan. Kemudian sekali lagi di dalam laporan beliau pada tahun 1884 ada menyatakan.

“…the oil district near the mouth of the Miri River should be thoroughly searched and reported on.” “Earth oil” was used by local people for lighting lamps, waterproofing boats, and medicinal purposes…” – Crespigni,1884.

Walaupun Crespigni telah memberi laporan mengenai penemuan telaga minyak konvensional di Miri pada tahun 1884 namun begitu pada masa itu ianya tidak mendapat perhatian yang lebih daripada Rajah Charles Brooke sehinggalah seorang rakannya iaitu Dr Charles Hose mula berkhidmat sebagai Residen Baram sekitar tahun 1884 sehingga 1904.

Dr Hose telah membaca laporan Crespigni dan minatnya yang mendalam itu telah memohon izin daripada Rajah Charles Brooke untuk menggunakan segala laporan pemetaan dan kajian mengenai minyak di Miri untuk dihantar kepada rakan-rakannya di London sekitar tahun 1904. Ini kerana pada masa itu Dr Hose telah bersara dan kembali ke England.

Setelah mendapat keizinan dan di kota London segala usahanya mendapat perhatian daripada Mr. H.N Benjamin iaitu antara pemegang saham terbesar Anglo-Saxon Petroleum (salah satu anak syarikat Royal Dutch/SHELL Group). Dan oleh kerana itulah dikatakan Rajah Charles Brooke atas nasihat Dr Hose telah pulang ke London pada tahun 1907 untuk bersama-sama membincangkan langkah-langkah selanjutnya mengenai usaha eksplorasi minyak di Miri dengan secara besar-besaran.

Setelah perjanjian dimeterai antara Kerajaan Sarawak dengan SHELL Group pada tahun 1907 maka semakin rancak aktiviti eksplorasi di Miri. Telaga minyak yang pertama digali adalah pada tahun 1910 setelah SHELL menghantar ahli geologi kanannya yang berketurunan Swiss iaitu Dr. Josef Theodore Erb. Melalui laporan dan pemetaan daripada beliaulah barulah segala asas penggerudian minyak dimulakan sekitar bulan Julai 1910 di satu telaga yang dinamakan Grand Old Lady (Miri Well) yang terletak di Canada Hill, Miri sekarang.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa sebenarnya penggalian telaga minyak yang pertama di bumi Sarawak melalui Miri Well 1 ini sebenarnya menggunakan kaedah yang agak konvensional. Ini kerana pada itu seorang jurutera minyak dari Canada yang bekerja dengan SHELL telah merekacipta satu bentuk alat penggerudian yang mengambilkira teknologi untuk mendapatkan garam di China.

Rig yang telah dihasilkannya ini telah berjaya memberi penggerudian minyak yang lebih berkesan setelah beberapa kali teknik penggerudian digunakan. Dan kerana itulah Miri Well 1 ini dinamakan dengan nama Canada Hill atau Bukit Kanada kerana mengambil bersempena nama juruteranya iaitu Mr. McAlphine, seorang warganegara Kanada.

Sejak daripada penemuan pertama di Miri Well itu tiada lagi yang dapat diperkatakan mengenai kerancakan industri minyak di Sarawak pada masa itu. Satu demi satu telaga minyak di kawasan daratan di bumi Miri dan kawasan sekitarnya diterokai dan berjaya mengeluarkan penghasilan yang cukup hebat kepada Sarawak Kingdom pada masa itu.

Sejajar dengan kepesatan itu juga, SHELL Group telah menubuhkan Sarawak Oilfield Limited yang beroperasi di Lutong, Miri pada tahun 1911. Kewujudannya telah merancakkan lagi ekonomi bagi bumi Miri dengan ramai tenaga mahir dibawa masuk daripada Singapura serta penduduk tempatan juga turut mendapat peluang pekerjaan serta mempelajari kepakaran di dalam bidang penerokaannya yang lebih moden. 

Sekitar tahun 1911 mengikut catatan sejarahnya dikatakan Miri pada itu telah berjaya mengeluarkan sejumlah 523 bopd daripada 5 telaga minyak sahaja. Namun menjelang tahun 1913 dengan bersandarkan kepada 8 telaga minyak telah berjaya menghasilkan 11,210 bopd dan Sarawak juga sudah menjadi pengeksport minyak di dunia pada itu.

Pada tahun 1914, Sarawak Shell telah mula membina kilangnya yang pertama di Miri. Pada masa itu juga SHELL telah menggunakan saluran paip dasar laut dari Tanjung Lobang untuk menyalurkan minyak mentah ke dermaga luar pesisir di pelabuhan Miri. Ianya merupakan salah satu sejarah kerana pada masa itu hanya ada beberapa tempat sahaja yang mempunyai sistem saluran paip dasar laut di dunia. Dan Sarawak adalah salah satu daripadanya.

Dan pada tahun 1914 itu juga, Sarawak mempunyai kilang penapis minyaknya sendiri iaitu Lutong Oil Refinary. Ianya berkhidmat cukup lama dan ditutup aktivitinya apabila wujudnya Gagasan Malaysia pada tahun 1963. 

Sekali lagi pada tahun 1925 iaitu ketika Sarawak dibawah pemerintahan Rajah Charles Vyner Brooke, industri minyak di Sarawak semakin menyerlah. Dengan menggunakan penggerudian berputar yang diperkenalkan telah mampu memberikan pulangan yang lebih berkesan. Sekitar tahun 1929, Miri telah menghasilkan 15,211 bopd dan pada tahun 1940 telah mampu mencapai 7 juta tong minyak.

Bandar Miri pula pada masa itu semakin berkembang dan antara Bandar paling sibuk di Sarawak pada waktu itu. 

Era Pendudukan Jepun Perang Dunia Kedua (1941-1945)

Di ketika Perang Dunia ke-2 berlangsung, Sarawak dibawah pemerintahan Rajah CV Brooke telah menjalankan taktik “bumi hangus” ke atas infrastruktur minyak dan kilang penapisan di Lutong, Miri. Brooke mengharapkan agar Jepun tidak mampu menggunapakai segala infrastruktur minyak bagi kegunaan ekonomi mereka. 

Namun sesuatu yang diluar jangkaan oleh Sarawak Kingdom bahawa ketika bermulanya pendudukan Jepun itu sendiri, Jepun telah menyediakan satu kumpulan pakar jurutera minyak yang dikenali sebagai Briged Kawaguchi. Di dalam 10 kapal pengangkut yang disediakan ini 5 daripadanya adalah dikhaskan untuk pakar-pakar minyak Jepun beserta dengan kelengkapan mereka sekali.

Apabila adanya pakar-pakar jurutera Jepun ini sudah tentu dasar bumi hangus ini tidak begitu memberi kesan kepada pendudukan Jepun. Dikatakan jauh sebelum tentera Jepun sampai, di Miri itu sendiri telah ada sekumpulan perisik Jepun yang menyamar menjadi pekerja minyak Sarawak dan dari merekalah segala sumber maklumat didapati untuk kegunaan ketenteraan Jepun. Malah mereka inilah yang kembali bekerja dengan Jepun sewaktu pendudukan Jepun telah berjaya.

Dikatakan hanya di dalam tempoh 2 bulan selepas pendudukan, tentera Jepun telah berjaya membaikpulih segala kemusnahan kepada industri minyak di Miri. Jepun telah menubuhkan satu syarikat yang baru yang dinamakan Nenryo Haikyu-Sho dan syarikat ini telah mengambil alih semula pentadbiran industry minyak di Miri. Pada masa pemerintahan Jepun itu hampir 750,000 tong minyak yang digunakan oleh tentera Jepun adalah hasil daripada di Miri, Sarawak.

Sekitar tahun 1945, walaupun banyak yang telah dilakukan oleh Jepun untuk menghidupkan kembali industri minyak namun akibat daripada serangan demi serangan oleh Tentera Perikatan akhirnya sekali lagi industry minyak di Miri menemui kemusnahan yang teruk. Malah dikatakan ianya merupakan kemusnahan yang lebih teruk daripada serangan 1941.

Rajah Charles Vyner Brooke pula sudah tidak mampu untuk membangunkan Sarawak malah beliau juga sudah muak memerintah. Akhirnya pada tahun 1946, Sarawak Kingdom diserahkan kepada Koloni British walaupun ramai rakyat Sarawak bangun menentang pada masa itu.

Era Sarawak Dibawah Koloni British Borneo (1946-1963)

Sekitar tahun 1947, Sarawak adalah jajahan kepada Koloni British dan kerana itu pemerintah Koloni British Borneo Sarawak telah cuba untuk memulihkan semula industry minyak di Sarawak yang hampir lumpuh kerana kesan Perang Dunia Kedua 1945.

Sekitar tahun 1949, British bertindak menubuhkan Geological Survey Department Of British Territories in Borneo dengan pusatnya adalah di Kuching, Sarawak. Jabatan ini merupakan asas kepada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia sekarang. Penubuhan jabatan ini telah banyak membantu Sarawak untuk menaikkan semula industri minyaknya.

Sekitar tahun 1955, Sarawak Shell terus maju dan maju didalam pengerudian minyak di Miri, Sarawak malah telah mula menggunakan seismic marin. Sekitar tahun 1957, Sarawak Shell telah mula meneroka luar pesisir Sarawak. Mereka telah melepaskan hampir 75% pajakan tanah daratan Sarawak pada masa itu iaitu 11 tahun lebih awal daripada tamatnya perjanjian konsesi.

Pada tahun 1960an, penggerudian minyak di perairan Miri dimulakan iaitu yang dinamakan Orient Explorer. Seterusnya tiada lagi Sarawak Shell menoleh belakang malah seterusnya terus-terusan menggerudi dan menghasilkan kemantapan ekonomi untuk bumi Sarawak pada ketika itu. 

Hanya pada tahun 1974 barulah sebuah organisasi milik penuh Kerajaan Malaysia ditubuhkan iaitu Petrolium Nasional Berhad atau PETRONAS. Ianya diberikan hak keseluruhan terhadap sumber-sumber minyak dan gas yang berada di wilayah Gagasan Malaysia. Inilah organisasi yang sehingga sekarang masih lagi mengawal segalanya mengenai sumber minyak dan gas di Sarawak. 

Jadi pada mereka yang dangkal sejarah yang seperti bertuhankan momokan kenyataan berat sebelah, fahamilah sejarah sebenar eksplorasi minyak di Sarawak. Jangan sesekali berkata SARAWAK TIDAK BOLEH HIDUP TANPA PETRONAS dan SARAWAK TIDAK BOLEH mengurustadbir sumbernya sendiri kerana HAKIKATNYA sejarah membuktikan Sarawak boleh melakukannya. 

Usah dipertikai tentang kepakaran dan kepandaian rakyat sendiri kerana para tenaga kerja anak Sarawak tidak pernah tiada di dalam sektor petroleum dan gas. Kerana tiada peluang di bumi sendiri ramai yang merantau jauh mencari sumber rezeki ke luar negara dan berkhidmat dengan syarikat carigali internasional. Malah bukan sedikit graduan anak tempatan yang menganggur kerana tiada tempat untuk memulakan kerjaya. BILA-BILA MASA sahaja mereka semua ini akan menyahut panggilan ibu pertiwi jika perlu. Jadi jangan tutup sebelah mata keupayaan anak Sarawak bermula dari tenaga professionalnya sehinggalah peringkat bawahan di dunia petroleum dan gas. 

Tiada masalahnya sekiranya Kerajaan Negeri Sarawak memohon budi bicara di dalam hal ini kerana ianya berkaitan dengan hak Sarawak yang disedut di bumi Sarawak sendiri. Sewajarnya segala yang disedut oleh Petronas ini harus mendahulukan rakyat Sarawak di dalam apa jua konteks baik dari segi ekonomi, royalti, peluang pekerjaan serta banyak lagi. 

Dan Akta Petroleum 1974 malah juga Akta Sempadan Laut yang dipinda itu juga sekarang menjadi “duri dalam daging” kerana ianya sudah ketinggalan zaman malah ada yang kedapatan ianya dipinda tanpa terma persetujuannya dari Sarawak itu sendiri. Banyak yang bertentangan dengan apa yang dihormati mengikut Perjanjian Malaysia 1963 penubuhan Gagasan Malaysia suatu waktu dahulu.

Itulah perjanjiannya yang harus dihormati dan bukannya membuatnya seperti harta yang diwarisi dari satu generasi ke generasi. 


Rujukan:

1. Author: Henry Longhurst . Book: The Borneo Story, 100 Years of Borneo Company Limited (1957)

2. The History Of Shell In Malaysia - website

3. Writer: Mohammad Morshidi. Kertas Kerja : History of Oil in Sarawak. UTM (2010)

Credit : HB

@ Sent From Samsung Note III
Wechat : sarawakguerreiro