Jumaat, 3 November 2017

#ALFATIHAH : PENYIMPAN WARISAN ROSLI DHOBY MENINGGAL DUNIA


SIBU: Waris pejuang kemerdekaan Sarawak, Allahyarham Rosli Dhoby, meninggal dunia, awal pagi tadi.

Bolhassan Aini Dhoby, 54, meninggal dunia kira-kira jam 4 pagi tadi di Hospital Sibu di sini selepas diserang angin ahmar sejak beberapa hari lalu.

Allahyarham yang bertugas di Jabatan Hutan Sarawak dikenali kerana usahanya mempertahankan barangan yang pernah dimiliki oleh Rosli Dhoby.

Antara barangan bersejarah milik pejuang itu yang disimpannya ialah warkah terakhir tulisan tangan Rosli Dhoby kepada ibunya, sebelum Allahyarham dihukum gantung pada 2 Mac 1950.

Barangan lain yang disimpannya dengan baik ialah sehelai kemeja dan baju perisai yang dipakai oleh Rosli Dhoby ketika membunuh Gabenor British Sarawak kedua Sir Duncan Stewart pada 3 Disember 1949.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham Bolhassan yang juga anak saudara Rosli Dhoby sering menjadi rujukan pelbagai pihak untuk mendapatkan maklumat mengenai pejuang kemerdekaan Sarawak itu.