Kira-kira 50,000 hadirin membanjiri Dataran Merdeka pada petang ini bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman Zionis di bawah bahang terik matahari.
Pengerusi Viva Palestina Malaysia Datuk Dr Musa Mohd Nordin yang membuat ucapan pembukaan pada perhimpunan itu mengutuk kekejaman Zionis yang menyerang tanpa peri kemanusiaan.
"Sejak 66 tahun lalu warga Palestin berjuang mendapatkan semula apa yang dicuri daripada mereka. Tanah, rumah, kampung dan apa yang penting kebebasan dan maruah diri mereka.
"Palestin dilabel oleh Nelson Mandela sebagai krisis moden terburuk dunia dan beliau menambah dunia tidak akan bebas selagi Palestin tidak dibebaskan," katanya berucap di majlis itu.
Semalam, Raja Abdullah dari Arab Saudi mengkritik tindakan berdiam diri masyarakat antarabangsa ekoran serangan agresif Israel, lapor Reuters.
Beliau turut menyelar tentera yang dikatakan membunuh orang awam tidak berdosa.
Pelakon dan pengarah filem tempatan, Afdlin Shauki yang turut hadir pada perhimpunan itu berkata produk Israel pada hari ini sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat Malaysia dan ia perlu dihentikan segera.
Katanya, rakyat Malaysia perlu mencari alternatif agar tidak terus menyumbang dengan melakukan pembelian untuk disalurkan kepada Israel.
"Puasa kita menahan diri daripada lapar dan dahaga. Lepas Ramadan, kita boikot menahan diri daripada barangan yang menyokong Israel.
"Orang yang tak mencuba dan cakap benda tu tak berkesan adalah salah kerana kita dah nampak CNN sendiri lapor saham McDonald's dan Coca-Cola jatuh oleh sebab orang tak beli.
"Yusuf Al-Qaradawi sendiri berkata boikot itu penting untuk menewaskan Israel. Ia kewajipan kita," katanya ketika ditemui The Malaysian Insider.
Ratu rock Malaysia, Ella pula berpandangan rakyat Malaysia perlu berasa malu sekiranya tidak menyatakan tentangan terhadap kekejaman Israel kerana banyak negara asing dengan lantang menunjukkan kebencian mereka.
"Jika kita terus menyatakan tentangan, kita akan mendapat hasil yang bermanfaat kerana jika dibandingkan negara lain, mereka sangat agresif memberi sokongan padu. Jadi jika kita tak buat apa-apa, kita akan malu.
"Tanggungjawab kita mengambil berat dan memberi sokongan," katanya.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pula menggesa persaudaraan sesama Islam dieratkan agar suara ukhwah semakin erat.
Beliau turut menggesa rakyat Malaysia memulakan usaha memboikot barangan Israel walaupun sedikit demi sedikit.
"Apa yang menyedihkan jiran mereka Arab Saudi dan Mesir tidak menyumbang apa-apa bantuan. Kita yang jauh ini lebih dari terasa, apa lagi yang dekat.
"Jika kita tidak menghidupkan kembali semangat persaudaraan Islam, orang Islam di mana sahaja akan mengalami malang yang tidak terhingga.
"Kita mampu boikot walau sedikit pun. Ia perlu tumpuan menyeluruh dan harus dimulakan," katanya kepada The Malaysian Insider.
Penyanyi dan usahawan, Heliza Helmi berkata peperangan yang berlaku di Gaza bukan sahaja ujian kepada mereka malah turut menguji keimanan umat Islam di negara ini.
"Kita tidak tahu keadaan kita aman sampai bila dan kita tidak tahu bagaimana pengakhiran kita.
"Mereka di Gaza, Insya-Allah pengakhiran di syurga tetapi pengakhiran kita, kita tidak tahu," katanya.
Seorang orang kelainan upaya (OKU) Isaiah Jacob menggesa kerajaan Malaysia dengan lantang menyatakan usaha memboikot produk Amerika Syarikat dan sekutu mereka agar kekejaman Israel dapat dihentikan.
"Saya sebagai warga OKU akan menyumbang sebanyak mana yang saya boleh untuk mengutip dana RM2 juta untuk rakyat Palestin khas kepada OKU di Palestin.
"Satu permintaan saya kepada kerajaan Malaysia, mereka sepatutnya sudah mengumumkan secara rasmi boikot sekutu Amerika yang sokong Israel. Kita boikot barang mereka," katanya. – 2 Ogos, 2014.