Isnin, 10 Julai 2017

EDISI JAGUNG : "JAGUNG INI JAGUNG MANIS"


Walaupun ada pihak menggelar Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai setahun jagung, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebaliknya menganggap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu sebagai 'jagung manis'.

"Meskipun Karim 'setahun jagung', jagung ini manis. Ada pihak menyatakan Karim setahun jagung, jika anda ingin mencari jagung, sudah pasti anda mencari jagung muda kerana manis dan segar," katanya.


@ Sent From Samsung Note III
Wechat : sarawakguerreiro
            

Sabtu, 1 Julai 2017

BERKOMPLOT DENGAN DOJ AMERIKA SYARIKAT BOLEH DIHUKUM BUNUH


Pihak atau warga tempatan yang mengkhianati negara dengan memburukkan nama Malaysia di luar negara se­perti membelot dan berkomplot dengan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat boleh dihukum bunuh di bawah Kanun Keseksaan.

Dr . Abdul Halim Sidek

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek berkata, ini kerana dakwaan DoJ ibarat kisah dongeng 1,001 malam apabila hanya mendapatkan maklumat daripada sebelah pihak iaitu mereka yang tidak berpuas hati terhadap pentadbiran kerajaan.

Kata beliau, sepatutnya DoJ merujuk kepada beberapa sumber yang sahih seperti Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat, Jabatan Perdana Menteri atau wakil-wakil Malaysia di luar negara terlebih dahulu sebelum mengemukakan dakwaan tersebut.

‘‘Tindakan DoJ menyerang sebuah negara berdaulat, bebas dan merdeka seperti Malaysia ini telah melanggar protokol, peraturan serta perundangan antarabangsa dan boleh menim­bulkan konfrontasi antara dua negara.

“Motif segala tindakan ini jelas untuk mengaibkan nama Malaysia, menimbulkan prasangka dalam kalangan masyarakat terhadap pentadbiran kerajaan kerana pilihan raya bakal menjelang tidak lama lagi dan perbuatan tersebut juga boleh menggugat keyakinan pelabur asing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga Pensyarah Undang-Undang Sekolah Perniagaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengulas kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menjelaskan tindakan DoJ mengemukakan saman sivil terbaharu untuk meram­pas AS$540 juta yang didakwa diperoleh daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah bersifat politik.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Mokhtar berkata, sekiranya DoJ serius ingin mendakwa kerajaan Malaysia atau mana-mana individu di negara ini, organisasi itu perlu mengemukakan kesemua bukti kepada Peguam Negara terlebih dahulu bagi membolehkan pendakwaan dilakukan.

Katanya, perkara itu termaktub dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan iaitu Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi kesalahan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Khas (Raja-Raja).

Jelas beliau, keputusan itu juga tidak boleh didesak oleh mana-mana pihak luar atau tertentu kerana ia seolah-olah negara tunduk pada kuasa luar.

“Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak atau individu dalam isu ini, tetapi DoJ perlu mengikut peraturan dan sistem undang-undang negara ini jika benar mahu meneruskan dakwaan saman sivil itu.

“Jika bukti yang dikemukakan mencukupi, atas nilai tanggungjawab Peguam Negara selaku individu yang bebas dan berkecuali akan membenarkan dakwaan itu dibuat, masalahnya sekarang DoJ tidak mengemukakan sebarang bukti, jadi bagaimana kes itu hendak disiasat dan mahkamah membuktikan siapa yang salah dan betul,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

@ Sent From Samsung Note III
Wechat : sarawakguerreiro