Isnin, 7 Ogos 2017

CAKAP SERUPA BIKIN : SYARIKAT MINYAK SARAWAK (PETROS) TERTUBUH SECARA RASMI


Syarikat minyak dan gas milik penuh Sarawak, Petroleum Sarawak (Petros), telah ditubuhkan secara rasmi, demikian diumumkan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg di sini malam tadi.

Beliau berkata anggota lembaga pengarah syarikat itu sudah dilantik dan mereka terdiri daripada profesional kelahiran Sarawak, yang berpengalaman luas dalam industri minyak dan gas, manakala tiada seorang pun daripada mereka adalah ahli poilitik.

"Malam ini, saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa kita telah menubuhkan secara rasmi syarikat minyak kita, Petros," katanya, yang disambut dengan tepukan bergemuruh hadirin ketika berucap kepada staf kementerian dan pejabat beliau pada majlis makan malam penghargaan anjuran pejabatnya di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.

Ketua menteri, yang diiringi isteri, Datin Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, bagaimanapun tidak menyatakan nama anggota lembaga pengarah, pengerusi atau ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat itu.

Penubuhan Petros merupakan langkah yang julung kali diambil kerajaan negeri bagi membolehkan Sarawak melibatkan diri secara aktif dalam pengeluaran minyak dan gas di Sarawak, sambil meneruskan permohonannya bagi mendapatkan 20 peratus royalti daripada Petronas.

Tanpa menamakan calonnya, beliau berkata ketua pegawai eksekutif Development Bank of Sarawak (DBOS) yang baru ditubuhkan, telah dilantik dan bank itu akan memulakan operasinya tidak lama lagi.

Katanya semua anggota lembaga pengarah DBOS adalah profesional dan bukan ahli politik, dan dipengerusikan Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri.

Beliau juga memberitahu hadirin bahawa langkah sedang diambil untuk meningkatkan keupayaan modal insan di negeri ini dengan memberi peluang kepada rakyat Sarawak melanjutkan pengajian di peringkat lepasan ijazah di dalam dan luar negara.

Katanya, Yayasan Sarawak, yang beliau pengerusikan, akan menambah biasiswa dan pinjaman kepada pelajar Sarawak yang layak memasuki universiti tempatan dan luar negara bagi mengikuti pengajian di peringkat lepasan ijazah.

"Sebuah majlis penyelidikan negeri dengan dipengerusikan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi akan ditubuhkan bagi menyelia semua usaha penyelidikan pada masa akan datang dan bagaimana ia boleh memberi manfaat kepada negeri ini," kata Abang Johari, sambil menjelaskan bahawa beliau sendiri telah mengarahkan agar penyelidikan dilakukan dengan kerjasama Swinburne University mengenai usaha memprototaipkan mesin menuai buah sawit.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua kementerian atas sokongan mereka dalam melaksanakan dasar, pendekatan dan teknologi baharu bagi mentransformasi Sarawak menjadi ekonomi digital di bawah kepimpinannya.

Majlis itu diadakan bersempena ulang tahun kelahiran Abang Johari ke-67 pada 4 Ogos.

Sumber : Bernama

@ Sent From Samsung Note III
Wechat : sarawakguerreiro