Jumaat, 15 Januari 2016

PERBEZAAN CABARAN ZAMAN #TUN RAZAK DAN @NAJIBRAZAK


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia memerlukan pasukan kepimpinan yang mempunyai hala tuju yang sama, kukuh dan saling mempercayai, baik dalam parti mahupun jemaah menteri, untuk menghadapi cabaran masa kini.

“Sebab itu bila kita lihat semua institusi itu bersama-sama dengan kepimpinan negara, kita boleh bergerak lebih pantas dan lebih yakin untuk mengisi segala matlamat perjuangan kita,” katanya dalam program eksklusif Selamat Pagi 1Malaysia bertajuk ‘Mengenang Tun Razak’ yang disiarkan secara langsung hari ini.

Najib berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau mahukan pasukan yang baik, serta sokongan padu daripada kabinet dan rakyat seperti yang dimiliki Allahyarham ayahanda beliau, Tun Abdul Razak Hussein semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia kedua dari 22 Sept 1970 hingga beliau meninggal dunia pada 14 Jan 1976 akibat penyakit leukemia pada usia 53 tahun.

Allahyarham mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Almarhum Tunku Abdul Rahman semasa negara baru sahaja pulih daripada darurat selepas tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Menyentuh mengenai impian dan perjuangan ayahandanya untuk Malaysia, Najib berkata Allahyarham Tun Razak mahukan perubahan yang besar pada negara dan tidak mahu melihat rakyat bergelut dalam kemiskinan, selain inginkan agar Malaysia bersama dengan negara maju.

Malah, katanya, dalam ucapan tahun baharu pada 1976, Allahyarham Tun Razak menyatakan keyakinan bahawa jika rakyat Malaysia yang ketika itu berjumlah 12 juta orang bersatu padu dan berazam untuk hidup dalam keadaan aman serta bebas, tidak ada mana-mana kuasa pun yang boleh menentang kehendak itu.

“Prinsip perjuangannya tidak ditelan zaman. Perjuangan kita masih jauh dan memakan masa yang lama,” katanya.

Najib berkata apa yang penting bagi Malaysia adalah generasi terkemudian meneruskan perjuangan yang dibawa pemimpin terdahulu yang dimulakan oleh Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

“Kita bawa negara kita ke arah kejayaan yang lebih tinggi, itulah cara yang terbaik bagi kita mengenang pemimpin-pemimpin terdahulu yang begitu banyak berjasa dan berbudi kepada kita.

“Kita bangunkan apa yang telah mereka bina, kita bawa ke tahap yang lebih tinggi,” kata Najib.

Najib turut menggambarkan ayahanda beliau sebagai seorang pemimpin yang kurang bercakap, tetapi kuat bekerja serta banyak hasilnya.

“Dia bukan seperti sesetengah pemimpin… ada peluang aje buat kenyataan, macam-macam kenyataan. Tetapi dia lebih mengutamakan hasil dan tindakan, sebab itu bila kita lihat legasi Allahyarham pada negara terlalu banyak dari segi dasar. Allahyarham mementingkan kerja dan mengutamakan keberhasilan,” katanya.

Menyentuh mengenai pantun empat kerat Allahyarham yang mengingatkan pegawai tadbir negara supaya berwaspada terhadap musuh yang boleh menghancurkan negara dan mengakibatkan rakyat sengsara, Najib berkata pada zaman ayahandanya, komunis merupakan ancaman utama.

“Zaman sekarang, ancaman fahaman yang keterlaluan seperti keganasan melampau, ekstremisme, keganasan dan sebagainya. Jadi kita mesti menjaga negara kita dari pelbagai sudut.

“Ini adalah kerana proses membina sesebuah negara bangsa memakan masa yang lama… bukan satu generasi tetapi meliputi beberapa generasi, dan proses bina negara yang dimulakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman sehingga kini masih belum habis,”kata Najib.

Perdana menteri berkata usaha mengukuhkan jati diri, perpaduan nasional dan integrasi nasional merupakan satu perjalanan yang jauh, namun paling penting untuk diteruskan adalah menanam kefahaman dan nilai asas dalam masyarakat, misalnya wasatiyyah serta saling hormat menghormati.

“Ini saya fikir kita mesti tekankan supaya Malaysia menjadi sebuah negara yang benar-benar berjaya,” kata Najib.

Menyentuh mengenai cabaran politik, Najib berkata cabaran antara zaman Allahyarham Tun Razak dengan zaman beliau jauh berbeza berikutan wujudnya teknologi internet dan media sosial.

Katanya walaupun sokongan rakyat terhadapnya adalah baik tetapi mereka dikelirukan terutama sekali oleh media sosial.

“Masa zaman ayahanda saya, kalau hendak menyebarkan fitnah ke apa ke, kena buat surat layang. Jadi penyebaran surat layang itu memang terbatas.

“Sekarang ini pada hujung jari kita sudah boleh sebar fitnah, jadi kita lihat bahawa keadaan boleh menjadi celaru dalam masa yang begitu singkat,” katanya.

Najib turut berkongsi kisah beliau sewaktu bersama ayahandanya yang dipanggil ‘daddy’ dengan menyifatkan Allahyarham Tun Razak sebagai seorang yang tegas tetapi sangat penyayang kepada keluarganya.

“Banyak peristiwa yang masih lekat dalam ingatan… yang saya lihat adalah rasa kasih sayang kepada kami. Walaupun kami misalnya di luar negara, saya ‘boarding school’, kalau saya hantar surat, dalam masa seminggu dua, beliau balas balik tanpa gagal. Saya lihat ini satu tanda kasih sayang bapa pada anak,” katanya

@ Sent From Samsung Note III
Wechat : sarawakguerreiro
            

0 ulasan:

Catat Ulasan