Akta Hasutan 1948 masih mempunyai ruang untuk dipinda dan diperkukuhkan lagi bagi memenuhi keperluan semasa dan bukannya dihapuskan.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sejak dilaksanakan, akta tersebut telah beberapa kali dipinda dan ianya masih lagi relevan bagi memastikan keselamatan dan keharmonian negara terus dipertahankan.
Jelas beliau, penghapusan akta tersebut seperti mana yang dicadangkan oleh segelintir pihak, pada hakikatnya hanya akan memburukkan lagi keadaan.
“Masih banyak ruang untuk diperkukuhkan lagi dan bukannya dihapuskan kerana biar pun Akta Hasutan 1948 ada, perlembagaan negara masih menyokong kebebasan bersuara dalam kalangan rakyat tetapi perlulah diingat kerana ianya tidak mutlak. Seperti juga apabila al-Quran diturunkan, ia menjadi panduan untuk sesuatu had (limitation) kerana tiada apa yang mutlak. Trend pada masa sekarang, kita lihat ketegangan dalam negara ini diwujudkan oleh kumpulan-kumpulan yang terlibat dengan politik, rakyat tidak membangkitkan sangat perkara-perkara provokasi tersebut.
Kumpulan itu mahu kebebasan bersuara yang mutlak kerana mereka melihat Akta Hasutan 1948 ini cuba menyekat kebebasan mereka bersuara. Pada saya, ini adalah sesuatu yang perlu kita jaga,” katanya semasa sidang media sempena pelancaran Gerakan Warganegara Mempertahankan Akta Hasutan 1948 di sini hari ini.
Tambah Musa, negara-negara seperti Singapura masih lagi mengamalkan undang-undang yang hampir sama dengan akta hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Malah menurut beliau, sebuah negara yang sering melaung-laungkan hak demokrasi dan kebebasan bersuara seperti Amerika Syarikat juga tidak memberikan hak mutlak di mana rakyatnya masih tertakluk di bawah Akta Patriot.
"Ini berbeza dengan Malaysia yang mahu menghapuskan akta-akta yang berkaitan dengan undang-undang pencegahan, katanya sambil menambah apakah yang perlu dibuat sekiranya akta tersebut telah dihapuskan dan negara mengalami ketidakharmonian di antara rakyat? ," tanyanya.
Dalam pada itu, Fasilitator Gerakan Warganegara Mempertahankan Akta Hasutan 1948, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz (gambar bawah, duduk sebelah Musa) berpendapat, akta itu tidak seharusnya dihapuskan sebaliknya hukuman yang lebih berat perlu dikenakan kepada pesalah terutama bagi pesalah-pesalah yang telah melakukan kesalahan yang sama berulang kali.
Antara yang dicadangkan adalah hukuman mati kepada penghasut tegar.
“Kami berpandangan bahawa tiada sebab untuk kerajaan tunduk kepada desakan warganegara minoriti untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 ini atau menggantikannya dengan suatu akta baharu yang tidak diperlukan.
"Kami percaya bahawa demi menjayakan program transformasi negara, apa yang diperlukan adalah menaikkan lagi jumlah denda dan tempoh penjara bagi penghasut tegar termasuklah mengenakan hukuman mati mandatori terhadap penghasut yang telah disabitkan kesalahan buat kali yang ketiga,” tegasnya.
Tambah Khairul Azam, sebagai sebuah negara yang didiami pelbagai kaum, agama dan bangsa, Malaysia memerlukan Akta Hasutan 1948 untuk terus memastikan setiap warganya hidup dalam keadaan harmoni dan selamat tanpa dihasut oleh anasir-anasir jahat.
Beliau bersama beberapa badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang lain termasuklah Persatuan Bekas Komando VAT 69 dan Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Skuad 69 PDRM Malaysia telah melancarkan petisyen dalam talian bagi membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyatakan sokongan terhadap akta tersebut.
Sejuta tandatangan sama ada secara maya atau fizikal disasarkan dapat dikumpul sebelum petisyen tersebut diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong, Sultan Halim Muadzam Shah dan salinannya pula akan diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa sidang parlimen yang akan datang. Gerakan Warganegara Mempertahankan Akta Hasutan 1948 juga akan mengaturkan siri jelajah penerangan ke seluruh negara bagi menerangkan kepentingan untuk mempertahankan akta berkenaan.
@ Sent From HTC ONE X
0 ulasan:
Catat Ulasan