LUNDU - Keuzuran bukan penghalang bagi seorang wanita warga emas untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, Sabtu ini.
Baina Bihim, 84, kini terlantar di atas katil di rumahnya di Kampung Stunggang Melayu di sini, setelah kedua-dua belah kakinya tidak lagi dapat digerakkan.
Menurut Baina, anaknya sentiasa meletakkan makanan di atas meja bersebelahan katilnya sebelum keluar bekerja kerana dia tidak mampu berjalan ke dapur untuk mengambilnya dan tiada ahli keluarga lain berada di kediamannya pada waktu siang.
“Saya memang tidak dapat lagi berjalan tetapi ia bukan alasan untuk tidak keluar mengundi.
“Saya telah mengundi sejak berusia 21 tahun dan hanya dua kali sahaja tidak dapat menunaikan tanggungjawab itu. Namun, saya memerlukan bantuan untuk dibawa ke tempat mengundi nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Baina menambah, dia amat menghormati Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan yakin balunya, Puan Sri Jamilah Anu dapat mempertahankan kerusi disandang arwah suaminya itu untuk mewakili rakyat di DUN Tanjong Datu dengan baik.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Stunggang Melayu, Malia Sapli, 52, berkata, pihaknya akan menyediakan kenderaan serta kerusi roda untuk membawa Baina dan seorang lagi warga emas di Kampung Stunggang Melayu ke pusat pengundian.
“Kita mahu memastikan lebih 1,000 pengundi dari Kampung Stunggang Melayu dapat menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka,” jelasnya ketika ditemui semasa mengunjungi Baina di rumahnya.
Sumber : Utusan Online
Wechat : sarawakguerreiro
0 ulasan:
Catat Ulasan