LUNDU - Persaingan berat sebelah yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mendominasi kempen pilihan raya kecil (PRK) DUN Tanjong Datu setakat ini memberi petanda awal dua calon parti pembangkang bakal hilang wang deposit masing-masing, menurut penganalisis politik.
Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof. Madya Dr. Jeniri Amir berkata, undi pembangkang akan berpecah, sekali gus menyebabkan kedua-dua calon parti pembangkang hilang wang deposit.
Calon BN Datuk Amar Jamilah Anu, balu kepada bekas ketua menteri Sarawak Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dicabar calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru Rapelson Richard Hamit dan calon Parti Reformasi Negeri (Star) Johnny Aput.
Menurut Jeniri, kedua-dua calon pembangkang itu tidak memberi cabaran kuat kepada BN mungkin disebabkan kekurangan dana untuk berkempen.
"Selain itu, isu yang mereka bawa juga tidak relevan dalam PRK kali ini dan mereka juga menyedari bahawa adalah mustahil untuk mereka menang," katanya.
Menurut Jeniri lagi, pengumuman projek bekalan air paip untuk DUN Tanjong Datu dan Tasik Biru bernilai RM129 juta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta lebih 800 projek bernilai RM1.3 bilion di Tanjong Datu oleh Adenan sebelum ini, turut mendorong pengundi memberi kemenangan kepada BN.
"Bagi saya kemenangan akan memihak kepada BN kerana penyertaan parti lawan bagi saya hanya menyemarakkan demokrasi...dari awal sudah tahu bahawa peluang untuk calon pembangkang menang amat tipis.
"Di samping itu, sentimen simpati, kenangan indah, balunya mewakili Adenan, dan sentimen ini akan diterjemahkan dalam bentuk undi," katanya.
Bagaimanapun katanya, jentera BN tidak harus leka walaupun pembangkang tidak ada poster kerana mereka sebenarnya bergerak senyap dari rumah ke rumah. Katanya, kalau berdasarkan mana-mana pilihan raya yang bersandarkan sentimen simpati, rekod lepas dan terbaru jelas boleh membantu.
Bagaimanapun, menurut Jeniri adalah mustahil bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencapai peratusan pengundian 75 peratus pada PRK kali ini.
"Peratusan yang disasarkan oleh SPR itu adalah terlalu tinggi untuk dicapai dalam sesuatu pilihan raya kecil," katanya.
Jeniri berkata, jentera BN perlu meningkatkan lagi momentum kempennya sepanjang baki empat hari berkempen (sehingga tengah malam 17 Feb), manakala media massa termasuk media sosial harus memainkan peranan untuk mengajak pengundi keluar beramai-ramai untuk mengundi pada 18 Feb ini.
Sementara itu, seorang lagi pensyarah kanan Unimas Prof. Madya Dr. Ahi Sarok percaya kedua-dua calon pembangkang akan hilang wang deposit.
"Kedua-duanya dari luar daerah Lundu, iaitu dari daerah Serian dan sudah tentu mereka tidak mendapat sokonan pengundi di Tanjong Datu.
"Kerusi Tanjong Datu merupakan kubu kuat BN dan calon BN akan mendapat undi simpati, lawatan oleh menteri-menteri persekutuan sudah tentu mempengaruhi pengundi untuk mengundi calon BN," tambahnya.
Sumber : BERNAMA
Wechat : sarawakguerreiro
0 ulasan:
Catat Ulasan