Jumaat, 20 Mac 2015

DUKE TIDAK AKAN ADA LAGI DI KACA TV


Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias hari ini mengumumkan bahawa beliau menarik diri daripada menyertai sebarang program ceramah yang bersiaran di televisyen.


Bagaimanapun katanya, beliau akan tetap muncul mengadakan ceramah seperti biasa di luar te­levisyen termasuk bagi rancangan Kalau Dah Jodoh kerana masih terikat kontrak bersama Astro.

Pengumuman itu dibuat melalui Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Padang Astaka, Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Kamaruddin Batu Kurau di sini yang juga disiarkan secara langsung di saluran TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menurut Mohd. Kazim, punca beliau menarik diri adalah kerana berasa kecewa apabila ada pihak mengatakannya berdakwah untuk mencari duit sedangkan beliau melakukan tugas tersebut untuk membiayai Pusat Pengajian Al-Barakah di Manjoi.

Beliau juga kecewa kerana dituduh meletakkan bayaran untuk setiap ceramah sedangkan bayaran itu terpulang kepada penganjur.

“Saya kecewa apabila ada yang mengatakan saya penglipur lara sedangkan saya berceramah meninggalkan keluarga, isteri dan anak-anak untuk berdakwah tiba-tiba dituduh sebagai penglipur lara. Jadi saya kecewa.

“Saya juga mungkin terlalu over berceramah di televisyen. Setiap saluran ada saya. Jadi saya rasa saya kena bagi peluang kepada penceramah dan ustaz lain untuk mengambil tempat saya.

“Saya akan berceramah di luar televisyen dan tidak mahu menonjol seperti dulu,” ujarnya.

Turut diundang sebagai panel dalam program yang dipengerusikan Prof. Dr. Redhuan Tee Abdullah itu ialah Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Datuk Mohd. Naj­muddin Elias.

Minggu lalu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegur Mohd. Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim kerana menggunakan pendekatan jenaka dalam ceramah yang disifatkan sebagai ‘penglipur lara’.

Sebelum itu, Mohd. Kazim juga diselubungi isu penyebaran surat dari Jabatan Mufti Perlis yang tidak bersetuju dengan pemilihan pendakwah terkenal itu untuk menjadi panel satu forum dengan alasan beliau membacakan riwa­yat-riwayat palsu.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir secara peribadi meminta Mohd. Kazim agar tidak berhenti daripada berceramah.

Zambry dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan ne­geri berkata, sumbangan Mohd. Kazim masih diperlukan kerana kaedah dakwah yang disampaikannya menarik minat pelbagai lapisan usia dan kaum.

“Saya berharap isu melibatkan Mohd. Kazim tidak dijadikan polemik, jangan diperbesar-besarkan lagi tetapi diselesaikan dengan cara baik.

“Mohd. Kazim tidak perlu bersara. Jangan ambil keputusan berhenti (berceramah), saya yakin beliau sebagai orang yang ikhlas dalam kerjanya akan terus memberikan khidmat ini kepada masyarakat,” katanya.

@ Sent From HTC Butterfly
            

0 ulasan:

Catat Ulasan