Jumaat, 4 November 2016

NAZRI AZIZ DAKWA TUN MAHATHIR CEMBURUKAN PM NAJIB


Datuk Seri Nazri Aziz berkata kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap hubungan China-Malaysia hanya kerana alasan mudah iaitu cemburu.

Menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata ini kerana tidak seperti zaman pentadbiran Dr Mahathir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini berjaya mendapatkan pelaburan terbesar untuk negara.

“Pelaburannya besar dan bukan mudah untuk sesebuah negara melabur sebanyak itu.

“Bila China mahu melabur sebesar itu di Malaysia, ia menunjukkan mereka yakin dengan cara perdana menteri mentadbir negara,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan Dr Mahathir yang Najib menjejaskan kedaulatan Malaysia kerana “terlampau bergantung” kepada China selepas kedua-dua negara menandatangani pelbagai urus niaga bernilai RM144 bilion minggu ini.

Dr Mahathir juga memberi amaran yang China mungkin hanya cuba untuk menyimpang dalam kes tuntutan pertindihan wilayah di Laut China Selatan.

“Saya rasa Dr Mahathir fikir masa dia jadi perdana menteri dulu. Masa itu China negara komunis, tapi kini ia ekonomi kedua terbesar dunia.

“Dalam zaman ini isu kedaulatan tidak timbul langsung. Ia tidak akan menjejaskan kita. Dia (Dr Mahathir) cemburu,” katanya.

Nazri mendakwa Dr Mahathir tidak gembira dengan urus niaga bilateral yang bersejarah itu kerana ia menolak dakwaan negarawan berusia 91 tahun yang Malaysia di bawah pentadbiran Najib akan bankrap.

“Pandangannya itu busuk hati dan dia hanya mahu lihat Najib jatuh,” katanya.

Mengulas mengenai perjanjian bilateral itu, Nazi berkata ia akan memberi manfaat kepada ekonomi negara dan pelancongan.

Katanya, tidak seperti Dr Mahathir yang lemah semangatnya dan akan mengalah kepada mana-mana pihak yang melabur ke Malaysia, Najib berprinsip orangnya dan tidak akan merisikokan kedaulatan negara.

“Dr Mahathir tidak mempunyai mental yang kuat, dia akan mengalah dengan China. Najib lain, dia sendiri beritahu saya pelaburan adalah pelaburan, tetapi kedaulatan tetap kedaulatan.

“Tidak ada kompromi dalam isu seperti Laut China Selatan. Itulah dia pemimpin sebenar,” katanya.

-FMT

@ Sent From Samsung Note III
Wechat : sarawakguerreiro
            

0 ulasan:

Catat Ulasan