Sekembalinya dari Sarawak baru-baru ini, ingin saya berkongsi beberapa perkara dalam pengamatan saya sepanjang berada di Bumi Kenyalang.
Dalam kunjungan saya, sama ada di kota besar mahupun di pedalaman, saya lihat rakyat Sarawak rata-ratanya menerima kepimpinan Barisan Nasional di bawah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.
Tan Sri seorang pemimpin yang memahami dengan mendalam kemahuan dan keperluan masyarakat tempatan. Beginilah pemimpin yang kita mahukan, yang rakyat perlukan.
Tan Sri juga tidak pernah segan silu untuk menyuarakan pendapat dan cadangan beliau bagi rakyat dan Kerajaan Negeri Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan.
Insya-Allah, tiada lautan yang dapat memisahkan persaudaraan dan persefahaman antara kami di bawah payung Barisan Nasional.
Tan Sri Adenan Satem dan saya akan meneruskan usaha kami untuk merancang rapi dan berusaha memajukan Sarawak agar Bumi Kenyalang ini menikmati hasil pembangunan dan kemakmuran negara secara saksama. Tidak kira sama ada di pedalaman atau di bandar, tidak ada sesiapa yang akan diabaikan dan ketinggalan dalam pentadbiran saya.
Inilah komitmen saya kepada Tan Sri Adenan Satem dan rakyat negeri Sarawak.
Projek-projek besar berpaksikan rakyat seperti pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, Jambatan Batang Sadong, penambahbaikan infrastruktur terutamanya institusi pengajian yang telah usang dan sebagainya, telah pun dimulakan dan akan terus dirancang bagi memastikan rakyat Sarawak kekal seiring bersama arus pemodenan negara.
Kerajaan Persekutuan akan terus memacu pertumbuhan Sarawak agar setaraf dengan kemajuan di Semenanjung Malaysia.
Selain itu, Kerajaan Negeri telah membangkitkan perkara-perkara amat munasabah berkaitan penurunan kuasa, dan perbincangan juga berlangsung dalam suasana yang positif. Insya-Allah, proses ini, walaupun mengambil masa, adalah untuk kebaikan masa depan Sarawak dan penduduknya.
Sarawak mempunyai potensi yang amat besar, dan saya yakin bahawa hari ini kita mempunyai kombinasi yang tepat, dari segi sumber hasil bumi, tenaga kerja, semangat jitu rakyat dan kepimpinan berkaliber untuk Sarawak mencapai potensi tersebut.
Tidak lama lagi juga, kita akan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak. Saya mahukan semua pihak, dari pucuk pimpinan parti hinggalah ke peringkat akar umbi, untuk kekal bersatu dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai yang terutama.
Jangan biarkan cita-cita atau sebarang kepentingan peribadi menjadi batu penghalang kepada kejayaan Barisan Nasional untuk terus menerajui serta membela nasib rakyat Bumi Kenyalang.
Apa-apa sahaja keputusan yang dibuat oleh kepimpinan Barisan Nasional Pusat dan Negeri hanyalah demi mengukuhkan parti dan memastikan kita kekal memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat Sarawak.
Ayuh rapatkan saf, teguhkan perpaduan dan kita pastikan Sarawak kekal biru di bawah lembayung Barisan Nasional!
Dipetik dari blog Najib Razak
Dipetik dari blog Najib Razak
@ Sent From Samsung Note III
Wechat : sarawakguerreiro
0 ulasan:
Catat Ulasan