Sabtu, 20 September 2014

JINGGAY 13 CUBA "AJAR" SULTAN SELANGOR



Koordinator Jingga13 Selangor, Afzainizam Abdul Rahman menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Menteri Besar Selangor dan merayu agar Sultan Selangor menyelesaikan kemelut ini.

Menurutnya. JINGGA13 Selangor menyatakan pendirian sokongan kepada Wan Azizah yang juga merupakan ADUN Kajang merangkap sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah meletakkan jawatan .

“Sebagai NGO dan rakyat negeri Selangor yang mempertahankan institusi raja berperlembagaan dan cinta kepada negeri Selangor, sudah pasti mengharapkan kemelut yang panjang dalam isu perlantikan Menteri Besar Selangor diselesaikan dengan segera agar negeri Selangor terus maju ke hadapan dan menjadi sebuah negeri yang cemerlang khususnya di bawah naungan Sultan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.

Afzainizam yang juga merupakan Timbalan Setiausaha JINGGA13 Malaysia yakin berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor, Fasal 53(2)(a) memperuntukkan bahawa Sultan perlulah melantik seorang Menteri Besar yang pada hemat baginda telah mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan.

“Justeru apa saja budibicara Sultan untuk melantik seorang Menteri Besar, kami yakin baginda tidak akan sesekali melanggari Fasal 53(2)(a) kerana seseorang Menteri Besar mesti mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan,” katanya.

Jelasnya lagi, sebagai ADUN, Wan Azizah telah memperolehi 30 majoriti daripada ADUN lain sepertimana peruntukkan Fasal 53 (2)(a) tersebut yang mewajarkan atas kebijaksanaan Sultan melantik beliau sebagai Menteri Besar yang baru serta mengangkat kedaulatan raja berperlembagaan lebih-lebih lagi Sultan sangat disayangi oleh rakyat jelata.

“JINGGA13 Selangor yakin bahawa Wan Azizah mampu menjadi seorang Menteri Besar yang berdedikasi berdasarkan rekod beliau memimpin PKR selama 16 tahun, Ahli Parlimen selama 3 penggal, Ketua Pembangkang serta perjuangan beliau yang terus konsisten memperjuangkan isu-isu rakyat dan ke arah sebuah Kerajaan yang baik,” katanya.

Justeru JINGGA13 Selangor dengan rendah diri merafak sembah ke bawah Sultan agar kemelut yang panjang ini disudahi dengan bijaksana dan segera melantik Wan Azizah sebagai Dato Menteri Besar Selangor.

“JINGGA13 Selangor memohon agar seluruh rakyat negeri Selangor bertenang dan tidak menimbulkan pelbagai persepsi dan polemik yang akan menjejaskan keharmonian negeri Selangor yang tercinta ini.

“Kami juga mengharapkan supaya apabila selesai sahaja isu dan kemelut Menteri Besar ini untuk sama-sama kita merapatkan saf dan muafakat ke arah membangunkan negeri Selangor yang lebih cemerlang dan gemilang.

“JINGGA13 Selangor akan bersama-sama kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar yang baru ke arah menjana kecemerlangan serta kedaulatan rakyat dan negeri Selangor,” tegasnya.

@ Sent From HTC ONE X
            

0 ulasan:

Catat Ulasan