Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang semalam mencabar pembangkang terutama Parti Tindakan Demokratik (DAP) bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar.
Beliau yang juga ADUN Layar amat mengalukan DAP bertanding di kawasan luar bandar termasuk di Layar pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Saya amat mengalu-alukan anda (bertanding pada pilihan raya) di Layar.
“Jika anda tidak berbuat demikian bermakna anda adalah pengecut,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan bagi Hal Ehwal Bumiputera dan Imigresen pada Persidangan DUN di sini, semalam.
Malahan Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata, rakyat Sarawak sudah tahu sepenuhnya tentang DAP yang hanya mengguna-kan Bumiputera bagi menunjukkan ketidakpuasan hati mereka dan cuba memasuki kawasan luar bandar.
Bagaimanapun kata Jabu taktik politik ‘tali barut’ DAP untuk memasuki kawasan luar bandar telah ditolak sama sekali oleh penduduk luar bandar yang berfikir dengan bijak.
Semasa ucapannya Pengerusi DAP Negeri Chong Chieng Jen mendakwa jumlah prestasi Jabu di kawasannya semakin lemah dengan berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, yang menunjukkan majoriti menurun.
Malahan dakwa Chong, prestasi beliau di Layar adalah antara yang paling teruk bagi calon-calon BN lain.
“Kalau pembangkang bertanding sekalipun di Layar, saya yakin kami akan menang dan menewaskan beliau… tunggu kemenangan DAP di luar bandar,” kata Chong.
Chong berkata Jabu tidak perlu mencabar pembangkang untuk bertanding sebaliknya melihat kepada prestasinya terlebih dahulu.
Sementara itu mengulas mengenai PKR, Jabu mendakwa tiga wakil rakyat PKR iaitu ADUN Batu Lintang, ADUN Ba’Kelalan dan ADUN Krian ada kaitan dengan Radio Free Sarawak dan Sarawak Report yang beroperasi di Covent Garden, London.
Jelasnya dengan itu rakyat Sarawak berhak untuk bertanya kenapa semua wakil rakyat PKR itu harus membiarkan wanita Inggeris (terlibat dalam Radio Free Sarawak) dan Sarawak Report untuk menyebar propaganda bagi menggugat kestabilan kerajaan negeri yang dipilih secara demokratik.
“Nampaknya daripada penerbitan publisiti PKR ini, wanita Inggeris ini yang mengendalikan Radio Free Sarawak dari luar Malaysia ada kuasa ke atas aktiviti PKR di Sarawak dan wakil rakyatnya yang hadir dalam dewan ini. Adakah ini mitos atau misteri?,” katanya. - UB
Wechat : sarawakguerreiro
BBM : 79CA2732
@ Sent From HTC ONE X
0 ulasan:
Catat Ulasan