Isnin, 24 November 2014

GENDANG BELUM BERBUNYI, PEMBANGKANG DI SARAWAK SUDAH TEWAS



Tan Sri Adenan Satem, ketua eksekutif negeri Sarawak, yang tidak ramai menjangkakan kebolehannya ketika mengambil alih jawatan pada Februari, memandangkan masalah kesihatannya dan hakikat dia dipilih sendiri pemimpin sebelumnya, Tun Abdul Taib Mahmud yang kontroversi dan meninggalkan legasi dakwaan rasuah dan kronisme, kini dipuji sebagai seorang "yang mempunyai kualiti sebenar seorang pemimpin Malaysia".

Tidak sampai setahun dalam perkhidmatannya, sesetengah rakyat Sarawak begitu kagum dengan prestasi Adenan, pendirian beliau dalam melindungi kepentingan Sarawak dan dasar agama yang liberal, membuatkan mereka bukan hanya meminta beliau meneruskan pemerintahan, tetapi juga mahukan beliau sebagai perdana menteri.
Lonjakan populariti Adenan, menjelang pilihan raya negeri yang dijangka pada 2016, meningkatkan harapan Barisan Nasional (BN) mendapatkan semula kerusi yang tewas kepada pembangkang pada pilihan raya lalu.

Dalam masa 9 bulan yang singkat itu, Adenan juga berjaya menarik peminat, termasuk dari luar Sarawak. Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin melahirkan rasa kagum beliau terhadap Adenan yang "bercakap lurus" sementara Ketua Star Sabah Datuk Jeffrey Kitingan memuji ketegasannya berdepan Putrajaya dalam melindungi hak dan kepentingan Sarawak.

Tetapi Adenan, 70, bekas pelajar sekolah Katolik berprestij St Joseph's di Kuching, hanya tenang dengan sokongan kuat yang diterimanya.

Dalam satu temubual dengan media, sambil beliau bersyukur dengan sokongan ramai yang diterima daripada seluruh lapisan masyarakat yang mengucapkan selamat menjalankan tugas barunya, dia tidak "menjangkakan pujian daripada pembangkang".

Tetapi, pemimpin pembangkang turut memujinya.
"Setakat ini dia mengatakan perkara yang betul dan melakukan perkara yang betul," kata ketua DAP negeri Chong Chieng Jen.

Bagaimanapun, katanya:"Kami masih memerhatikan beliau secara objektif dan dengan fikiran yang terbuka."

Chong yang juga ahli Parlimen Bandar Kuching dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Sentosa berkata satu perkara yang disokong sepenuhnya ialah pendirian Adenan mengenai rasuah.

Pada Jun, Adenan bersetuju dengan cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak membenarkan ahli keluarganya yang terdekat memohon tanah atau konsesi pembalakan negeri dengan menandatangani ikrar integriti.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Adenan menunjukkan yang beliau bukan hanya cakap kosong apabila memberi amaran kepada 6 syarikat pembalakan terbesar di negeri itu, yang menerajui para kontraktor yang kegiatan mereka tidak lagi terkawal dan terlibat dalam pembalakan haram.

Selepas memberi amaran kepada kumpulan Big 6 itu, beliau memaksa mereka menandatangani ikrar integriti mengakui tidak melibatkan diri dalam amalan rasuah seperti dengan membayar pegawai hutan atau pegawai penguatkuasa.

Ini diikuti dengan menggerakkan Jabatan Hutan bagi menjalankan beberapa serbuan di kilang papan yang disyaki memproses kayu balak yang ditebang secara haram, kolam balak syarikat tersebut dan kawasan di mana pembalakan haram disyaki berlaku.

Perkara lain yang dilakukan dengan 'betul' oleh Adenan dan diterima baik rakyat Sarawak ialah autonomi Sarawak dan kedudukannya setelah penubuhan Malaysia; Sarawak tidak mendapat hak sama sebagai rakan kongsi dalam persekutuan; janjinya menghalang fanatik agama, pelampau dan pengacau masuk ke negeri itu; hak rakyat Sarawak yang berbahasa Malaysia menggunakan Bible yang mengandungi kalimah Allah; janjinya tidak melaksanakan undang-undang hudud "semasa saya masih Ketua Menteri" dan permintaan popular menaikkan royalti minyak dan gas di Sarawak dari 5% kepada 20%.

Pada satu rumah terbuka Gawai Dayak di Betong pada Jun, Adenan memberitahu majoriti Kristian di kawasan Dayak itu yang dia memilih pendekatan liberal dalam hal agama "bagi memelihara keharmonian agama dan kaum di negeri ini".

"Walaupun saya dilahirkan seorang Islam, saya menghormati mereka yang beragama Kristian, Buddha dan penganut agama lain.

"Sikap melampau dan ketaksuban tidak akan berkembang maju di Sarawak kerana saya tidak akan membiarkan elemen tersebut datang dan menyusup masuk ke dalam masyarakat kita," katanya.

Baru Bian, pemimpin PKR negeri itu, tidak menjangka Adenan akan bermula dengan satu kejutan.

Baru berkata, Adenan bermula pada nada yang berbeza dan kenyataan berani yang dibuatnya jelas berbeza daripada Taib.

Beliau juga mengalu-alukan keterbukaan Adenan yang mahu bertemu ahli politik pembangkang dan dengar suara mereka.

"Kalau dengan ketua menteri yang dulu, saya tidak fikir dia sudi bertemu kita,” katanya.

Adenan bertemu pemimpin pembangkang dua kali sejak memegang jawatan.

"Jadi, jelas yang ketua menteri ini melakukan perkara yang luar biasa. Beliau buat kerja tanpa ikut protokol.

"Beliau tidak buat kerja ikut buku. Kalau beliau rasa betul, beliau buat, seperti yang beliau selalu katakan akan buat,” katanya.

Tetapi Chong dan Baru masih menunggu bagi melihat sama ada Adenan benar-benar bercakap dan susulinya dengan tindakan dalam membawa pembaharuan kepada kerajaan.

"Sama ada dia benar-benar boleh membawa pembaharuan kepada pentadbiran Sarawak, menyingkir atau mengurangkan dengan ketara kronisme, rasuah dan penyalahgunaan lain, kita masih belum nampak.

"Ada beberapa perkara tertentu yang berlaku sejak kebelakangan ini yang mungkin dilihat sebagai menuju ke arah itu, tetapi masih terdapat tentangan yang kuat di dalam pentadbirannya bagi mewujudkan kerajaan yang bersih, adil dan telus," kata Chong.

"Masih terlalu awal untuk mengatakannya."

Imej bersih yang ditunjukkan Adenan dan caranya yang 'no-nonsense' (tidak main-main) juga membuatkan pembangkang bimbang menjelang pilihan raya negeri.

"Beliau memang bukan Taib," kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kepada sekumpulan wartawan Sarawak dalam lawatan ke Pulau Pinang baru-baru ini.

"Beliau tiada apa yang buruk hendak disembunyikan,” katanya.

Menambahkan lagi kepedihan yang dialami pembangkang, Adenan berkata beliau mempunyai beberapa "kejutan" untuk pembangkang dalam pilihan raya.

Jika Adenan benar-benar berjaya sebagai seorang yang melakukan perubahan, seperti yang ditakuti pembangkang, rakyat Sarawak boleh mengharapkan beliau terus memimpin mereka lima tahun lagi.

Wechat : sarawakguerreiro
BBM : 79CA2732


@ Sent From HTC ONE X
            

0 ulasan:

Catat Ulasan