Isnin, 6 Februari 2017

#PRKN3TanjongDatu : BN AKAN KEMPEN GUNA KAEDAH MULTIMEDIA


Barisan Nasional akan menggunakan kempen kaedah multimedia seperti yang pernah dilakukan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar bagi membantu calonnya dalam PRK Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu, yang masih dalam tempoh edah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata antara kaedah yang akan digunakan termasuklah penggunaan multimedia bagi mendekati pengundi di kawasan itu.

"Kita akan mengikut acuan kempen di Kuala Kangsar. Calon BN tidak akan keluar, sebaliknya kita guna pendekatan mutimedia dan bahan-bahan cetak," katanya.

Beliau berkata perkara itu telah dirujuk kepada Mufti Sarawak Datuk Kipli Yassin dan bekas Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya bagi mendapatkan pandangan mereka untuk mengelakkan sebarang pelanggaran syarak.

PRK DUN Tanjong Datu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Jamilah yang juga balu bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Rapelson Richard Hamit daripada Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru dan Johnny Aput daripada Parti Reformasi Negeri (Star).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Feb ini sebagai pengundian awal dan 18 Feb sebagai tarikh mengundi.

Ahmad Zahid juga berharap pengundi di kawasan itu akan meneruskan sokongan kepada BN dan memberi kepercayaan kepada Jamilah, 61, untuk mempertahankan kerusi yang pernah disandang oleh suaminya.

Katanya selain itu, rakyat Sarawak juga perlu memastikan kemenangan calon BN bagi membolehkan kepimpinan baharu Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg untuk meneruskan usaha membawa pelbagai pembangunan bagi manfaat penduduk kawasan itu seperti harapan allahyarham Adenan ketika menjadi wakil rakyat di situ.

PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian penyandang Allahyarham Adenan pada 11 Jan lalu akibat komplikasi jantung.

Sumber : Bernama

@ Sent From Samsung Note III
Wechat : sarawakguerreiro
            

0 ulasan:

Catat Ulasan