Rabu, 28 September 2016

#PRU14 : PARLIMEN SIBU & LANANG !!! SUPP ATAU UPP ???


Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mahu kedua-dua kerusi Parlimen Sibu dan Lanang diberikan kepada parti tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Penyelaras Kerusi Parlimen Sibu dan Lanang Robert Lau dan Chieng Buong Toon dalam satu kenyataan bersama berkata ini berdasarkan SUPP merupakan sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Kedua-dua kerusi Parlimen Sibu (P.212) dan Lanang (P.211) hendaklah diwakili ahli-ahli daripada parti-parti komponen BN pada PRU14 nanti.

“Kedua-dua kerusi itu sebelum ini diwakili oleh SUPP, ahli pengasas BN. Parti Rakyat Bersatu (UPP) bukan parti komponen BN dan ahlinya tidak boleh mewakili BN pada pilihan raya akan datang,” ujar mereka.

Kenyataan bersama itu dibuat ekoran laporan berita oleh Pengerusi UPP Lanang Datuk Tiong Thai King memberitahu tidak akan bertanding bagi kerusi Lanang.

Namun, menurut Tiong beliau menyediakan beberapa individu untuk dijadikan calon di kerusi tersebut.

Menurut kenyataan itu, Tiong juga mendakwa beliau adalah pengerusi UPP Dudong dan ini bercanggah dengan tindakan beliau meletak jawatan daripada UPP sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mei lalu.

“Tiong diperlukan menyertai parti komponen BN kerana keadaan beliau dipilih untuk berdiri di bawah logo BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Oleh itu, beliau perlu menghormati janjinya menyertai sebuah parti komponen BN.

“Namun, beliau terus mengecewakan pengundi di Dudong yang mengundi BN dengan melambatkan usaha beliau menyertai parti komponen BN,” kata mereka.

Sehubungan itu, kedua-dua mereka menggesa Tiong kembali ke parti asalnya iaitu SUPP demi perpaduan rakyat di Sibu dan masyarakat Cina.

“Kita perlu bersatu agar kita tidak dipinggirkan.

“SUPP mengalu-alukan Tiong kembali semula kepada SUPP,” kata mereka.


Sent From Samsung Note III
Wechat : sarawakguerreiro
            

0 ulasan:

Catat Ulasan